Wednesday, June 23, 2010

Pemuda Yang Kucintai

Dia yang rimbun di taman hati
Ialah seorang mujahid sejati
Basah lidahnya dengan lantunan zikir
Memuji-muji penciptaNya
Dalam takut dan cinta kepadaNya

Setiap deru nafas yang menghembus
Tersemat nama-namaNya yang maha indah
Puisi suci Al-Quran yang sempurna
Menjadi peneman paling setia
Dalam perjalanan salik menuju khaliqnya
Demi merajut kebahagiaan menuju kematian

Dia yang sentiasa di hati
Adalah pemuda berhati waja
Dalam riak wajah setenang sungai yang mengalir
Senyumannya merenggut tangkai hati
Subhanallah!Maha agung penciptanya!

Dia…pemuda idaman hati
Hidupnya dengan jihad sejati
Tidak gentar mati
Berani demi keredhaan ilahi
Tinggi nilai akhlak dan peribadi
Redha orang tuanya menjadi nadi
Dalam kesucian hati
Dan ketetapan jiwa
Mengingatkan yang leka
Kepada pencipta
Kerana katanya….kita sentiasa
Dicumbui dengan keghairahan nafsu
Dibelai dengan haruman dunia
Kerana si Merah itu
Tetap dengan janji-janji mereka

Pemuda yang aku cintai,
Yang bersabar dengan kerendahan harta
Yang bersyukur tumbuhnya lalang
Bumi yang masih hijau
Menjadi tanda
Allah sentiasa menyayanginya
Dan tersenyum dengan gelombang yang datang
Kerana baginya
Ujian itu adalah ucapan rindu Allah buatnya

Pemuda yang aku idamkan
Menjadi penyambung benih-benih iman
Membentuk zuriat hamba yang berhati waja
Dalam rahim wanita solehah
Sebagai mujahid fisabilillah
Menjunjung agama Allah
Dalam perjuangan suci
Dialah pemuda yang kucintai

Arina Khudori Kiswantoh
Kampung Sungai Ramal Luar,kajang

Wednesday, June 16, 2010

OMBAK

Saat itu datang
Menjengah ke pintu
Ia datang pisahkan kita
Arumiku!

Tak ingin ku relakan kau pergi
Mencurah pun air mataku
kau pergi jua
Demi cinta dan cita

Arumiku..
Jangan dikenang
Waktu bersama
Jangan diimbau
Gelak tawa
Kelak kau leka
Dengan kesunyian yang
Bakal menyinsing harimu.
Tapi..
Tegarlah!
Semarakkan gelombang perjuanganmu
Kerana api tak mampu
Membakar semangatmu
Teruslah!
Terus mara
Arumiku!

Dedaun itu gugur
Bersama jantung-jantung kami
Jantung bapak
Jantung emak
Tapi demi citamu
Kami rela kau pergi
Biar kau genggam langit biru
Junjung panji Negara
Bangsa dan agamamu

Salam sejahtera Arumiku
Kakak titipkan bayu malam ini
Untukmu
Sebagai pengiring jalan jayamu
Redha kami menjadi teman
Sepanjang perjalananmu

(khas buat adikku Arumi Kiswantoh yang melanjutkan pelajaran di UNITEN,Pahang pada julai 2009)