Wednesday, November 10, 2010

Dialog Pendosa

Nafsu I
Aku cuma berteleku
Dalam hati
Beku
Semu
Mencorak nikmat-nikmat dunia
Menjadi pakaian mereka
Membina syurga
Dalam setiap togokan
Botol yang bergelimpangan
Ketika mereka
Berdekah dalam pelukan
Dan cumbu rayu kaum mereka
yang bertubuh ramping

Tapi itu
Bukan angkaraku
Buka mata!
Bukan aku!

Iblis I
Kau fikir aku?
Celaka!
Aku bukan berbuat dosa!
Cuma mengota janji-janji
Menggoda
Anak adam semesta
Ya!
Aku musuh nyata
Tapi mereka sahabatku
Selama-lama.

Tapi itu
Bukan angkaraku
Buka telinga!
Bukan aku!

Nafsu II
Hai durjana!
Lidah bercabang tiga
Usahlah terpekur memikirkan
Siapa yang salah
Kerana ketunaanmu
Telah terpancar
Kerana akal dan helahmu
Mereka bertelut padamu
Tapi aku
Adalah mereka
Diam dalam diri dan jiwa mereka!

Kau!
Kau yang pancung keimanan
Menjadi peroi dalam
Catatan-catatan Si Raqib
Memang kau
Penghasut paling dahsyat!

Iblis II
Jangan salah,
Kau pun pandai berkelah
Dengan mata galak
Kau renung
Sudut-sudut dosa indah
Baling batu
Sorok tangan dalam baju
Tak begitu?

Hai nafsu..
Kita bermusuh
Tapi
Kita masih dalam satu lagu
Sedar kah?
Kau yang ganti posisi aku
Saat aku dirantai di peraduanku
Kau yang meramas-ramas
Ketaqwaan
Menjadi keserakahan
Mamai dalam kenikmatan!
Jadi?
Siapa yang sebenarnya
Menghamilkan sengketa?
Tiada kata dua!
Kau segala punca!

Sedarlah,
Bukan aku,
Tapi kau!
Mereka bisa saja
Menghapus aku
Dengan izin Allahu Rabbi
Tapi kau
butuh masa
Untuk ditewaskan!


Arina Khudori Kiswantoh
Kg. Sungai Ramal Luar,Kajang,selangor

No comments:

Post a Comment